educare website share a lot of useful information about education and world universities/colleges for your reference. We hope you will get your right choice here for your success.

Education Care Network

Please click the picture to download
Huraian Falsafah Pendahuluan

Penghasilan buku ini bertitik tolak daripada situasi generasi muda pada zaman globalisasi ini. Secara umumnya didapati masyarakat kita terutamanya mereka yang masih muda, semakin terhakis nilai kemanusiaan.
Setiap individu seharusnya memainkan peranan secara langsung mahupun secara tidak langsung untuk membendung gejala sosial daripada berleluasa dalam kalangan generasi muda. Ibu bapa misalnya, merupakan model utama kepada pembentukan sahsiah dan peribadi anak-anak.
Anak-anak perlu dibimbing dan dikawal agar apabila mereka dewasa kelak, memiliki kebijaksanaan dan kekuatan diri dalam memilih percaturan hidup. Rumah dan sekolah merupakan dua tempat asas yang turut memainkan peranan penting dalam mencorakkan watak dan keterampilan anak-anak.
Atas landasan inilah, buku ini terhasil dengan matlamat untuk menyebarluaskan beberapa falsafah tradisi Timur yang boleh menjadi panduan kepada semua anak-anak yang masih di bangku sekolah sehinggalah yang telah meningkat remaja.
Hal ini kerana disiplin ilmu yang dibawa bercorak universal dan boleh digunapakai merentasi had masa, agama, bangsa dan budaya.
Adalah diharapkan agar buku ini menjadi wahana kepada ibu bapa, guru-guru, dan seluruh masyarakat agar mampu menterjemahkan falsafah tradisi hasilan tokoh-tokoh ternama tamadun Timur ini, melalui perlakuan dan amalan anak didik masing-masing.

Huraian Falsafah Bab 1 (Perkara 1-29)

Bab 1: Tanggungjawab Anak Terhadap Ibu Bapa Semasa Di Rumah

1. Apabila dipanggil oleh ibu atau bapa, jawab dengan segera. 
2. Apabila disuruh membuat sesuatu, buat secepat yang boleh. 
3. Sekiranya diberi arahan, dengar arahan itu dengan teliti. 
4. Jikalau ditegur tentang sesuatu kesalahan, terimalah dengan cuba membetulkannya. 
5. Pastikan ibu bapa selesa dalam sebarang keadaan cuaca. 
6. Lazimkan diri menegur mereka pada waktu pagi sebagai tanda kita mengingati mereka. 
7. Pada waktu malam pastikan mereka dapat beristirahat dengan baik. 
8. Sebelum keluar rumah, beritahu mereka ke mana arah tujuan supaya mereka tidak merasa risau kelak. 
9. Lazimkan menegur mereka apabila kita pulang ke rumah, supaya mereka tahu anaknya sudah selamat kembali. 
10. Apabila tinggal berasingan, dapatkan tempat tinggal yang tetap dan pekerjaan yang sesuai. 
11. Hendaklah tekun menjalankan sesuatu kerja dan jangan selalu bertukar ganti. 
12. Sekiranya sesuatu perkara itu dianggap remeh tetapi perkara itu salah dan tidak adil bagi orang lain, janganlah terus dibuat tanpa mengambil kira akibatnya. 
13. Seseorang yang membuat pekerjaan yang salah disisi undang-undang negara, ia merupakan anak yang tidak patuh kepada ibubapa. 
14. Jangan membuat pekerjaan yang salah, walaupun kecil, nescaya ibu bapa kita akan berasa sedih dengan perbuatan yang sedemikian. 
15. Sekiranya mampu, tunaikan apa yang mereka ingini sekira- nya baik bagi mereka. 
16. Jauhkan daripada mereka apa yang mereka kurang senang yang tidak memudaratkan diri mereka. 
17. Mereka akan berasa sedih dan pilu apabila kita sakit. 
18. Mereka pastinya kecewa apabila kita membuat kesalahan atau berlaku curang. 
19. Sekiranya kita mempunyai ibu bapa yang penyayang, tidaklah sukar bagi kita menjadi orang yang bersopan. 
20. Sekiranya mereka bukan penyayang, kita masih perlu bersopan barulah kita akan menjadi anak yang soleh. 
21. Jikalau mereka melakukan kesalahan, nasihati mereka dengan penampilan muka yang baik dan suara yang lembut barulah mereka boleh membuat perubahan. 
22. Sekiranya nasihat anda tidak diterima, cuba lagi pada masa lain yang sesuai, diiringi dengan nada yang sedih agar mereka memahami tujuan murni yang hendak disampaikan. 
23. Jangan menyimpan dendam terhadap ibu bapa walaupun kamu dirotan. 
24. Semasa mereka sakit, jaga dengan rapi ubat-ubatan mereka, dan mesti sentiasa berada di sisi mereka. 
25. Apabila mereka telah tiada, selalulah mengenangi mereka. Kenang segala pengorbanan mereka sepanjang membesarkan kamu. 
26. Dalam masa yang sama pengubahsuaian rumah tidak sepatutnya dilakukan sebab ini tidak selaras dengan suasana pilu, selepas ketiadaan ibu atau bapa. 
27. Peraturan pengebumian hendaklah dijalankan dengan tertib dan mengikut agama. 
28. Sentiasa mendoakan ibu bapa dari semasa ke semasa. 
29. Janganlah lupa menziarahi pusara ibu bapa sebagai tanda kasih kita.

Huraian Falsafah Bab 2 (Perkara 1-22)

Bab 2 : Etika Orang Muda Dalam Kalangan Orang Yang Lebih Tua

1. Kakak dan abang seharusnya melayani adik-adik mereka dengan baik. 
2. Si adik seharusnya menyayangi dan menghormati yang tua. 
3. Menjalin pertalian mesra sesama ahli keluarga adalah tugas kita terhadap ibu bapa. 
4. Sekiranya jalinan persaudaraan dalam keluarga dianggap lebih penting daripada harta benda, maka tidak akan berlaku perselisihan faham di kalangan ahli keluarga. 
5. Sekiranya tutur kata dan bahasa sewaktu bersama dijaga dengan rapi, nescaya masalah tidak akan timbul. 
6. Sama ada pada waktu makan, minum, berjalan atau beriadah, yang muda seharusnya menyusul di belakang yang tua. 
7. Jikalau yang tua mencari seseorang, dapatkan orang itu dengan segera, jika tiada maklumkan kepadanya dan berilah apa-apa bantuan yang diperlukan. 
8. Apabila menegur orang yang lebih tua daripada kita, gunakan gelaran atau pangkat yang bersesuaian. 
9. Janganlah kita berlagak di hadapan orang tua. 
10. Apabila bertemu dengan orang tua yang kita kenali, tegur mereka sambil tunduk dengan hormat. 
11. Sekiranya dia tidak menyahut, berikan sahaja dia laluan dengan baik. 
12. Apabila ternampak orang tua yang kita kenali berjalan kaki, sementara kita berkenderaan jemputlah ia bersama. 
13. Beri laluan kepada orang yang lebih tua apabila bertemu dalam masa perjalanan. 
14. Janganlah kita duduk dan biarkan yang tua berdiri. 
15. Sebaiknya kita biarkan yang tua itu duduk dahulu dan tunggu sehingga kita dijemput untuk berbuat demikian. 
16. Di hadapan orang tua cakaplah dengan sopan dan jangan meninggi suara. 
17. Tidak sesuai jika kita bercakap terlalu perlahan sehingga tidak dapat didengari. 
18. Semasa hendak bertemu orang yang lebih tua, bergerak cepat menuju ke arahnya. 
19. Semasa hendak beredar janganlah tergesa-gesa. 
20. Apabila berbual atau menjawab soalan, pandanglah muka orang itu. 
21. Anggaplah ibu atau bapa saudara kamu sebagai ibu bapa kandung kamu sendiri. 
22. Layani suadara-mara kamu seperti mana kamu melayani saudara kamu sendiri.

Huraian Falsafah Bab 3 (Perkara 1-37)

Bab 3: Peraturan Pada Setiap Hari

1. Sebaik-baiknya kita bangun pagi sebelum ibu bapa kita bangun. 
2. Pada sebelah malam pula kita hanya tidur selepas ibu bapa kita sudah tidur. 
3. Apabila kita menyedari yang masa itu tidak dapat diganti dan setiap tahun umur kita meningkat, kita akan menghargai dan bersyukur dengan apa yang kita ada. 
4. Cuci muka dan mandi sebaik sahaja kita bangun pada waktu pagi dan terus menggosok gigi. 
5. Bersihkan tangan sebaik sahaja kita menggunakan tandas. 
6. Pakai topi atau songkok dengan baik dan kancingkan butang baju dengan rapi. 
7. Stokin dan kasut harus diguna dengan betul dan cermat. 
8. Letakkan pakaian di tempat yang disediakan. 
9. Jangan campak baju di merata-rata tempat sebab akan kotor nanti. 
10. Pakaian yang bersih lebih baik daripada pakaian yang mahal. 
11. Apabila kita hendak bertemu dengan orang tua atau orang kenamaan gunakan pakaian yang bersesuaian. 
12. Pakaian di rumah semestinya mengikut tradisi dan kebiasaan keluarga. 
13. Janganlah terlalu memilih dalam soal pemakanan dan minuman. 
14. Apabila kita makan, makanlah secara sederhana dan jangan berlebihan.
15. Kita tidak boleh minum minuman keras kerana minuman keras haram hukumnya. 
16. Kelakuan buruk akan menonjol apabila kita mabuk. 
17. Berjalanlah dengan penuh mantap dan ketenangan. 
18. Berdirilah dengan tegak dan teguh. 
19. Sekiranya kita menghormati seseorang dengan menunduk kepala, tangan kita diletak di sebelah hadapan. 
20. Hormati seseorang dengan penuh keikhlasan. 
21. Jangan membiasakan diri berdiri di atas bendul pintu. 
22. Jangan berdiri dengan sebelah kaki. 
23. Duduk dengan tertib, jangan membongkok atau menengadah. 
24. Usah menggoyang kaki semasa duduk. 
25. Ketepikan tirai perlahan-lahan jangan ditarik dengan kasar. 
26. Berhati-hati semasa berpusing supaya tidak tersentuh dengan sesuatu. 
27. Tatkala memegang sesuatu bekas kosong anggap seperti bekas itu berisi penuh, jaga dengan baik. 
28. Semasa masuk ke kamar-kamar yang kosong anggap seperti kamar itu ada penghuninya. 
29. Jangan buat kerja tergesa-gesa sebab ini akan mengakibatkan banyak kesalahan dan kerugian. 
30. Jangan kita gementar dengan pekerjaan yang sukar. 
31. Jangan kita cuai dengan pekerjaan yang senang. 
32. Jauhkan diri dari tempat yang hingar-bingar dan jangan bertanya tentang perkara yang luar biasa. 
33. Beri ucap salam atau menyapa dahulu sebelum memasuki sesuatu kawasan. 
34. Sebelum masuk ke kamar ataupun pejabat, beri salam supaya penghuninya tahu ada tetamu datang. 
35. Sekiranya ditanya siapa kamu, beritahu nama kamu jangan berkata “saya” sebab ini tidak jelas. 
36. Kita perlu meminta kebenaran sebelum meminjam barangan orang lain, sekiranya tidak ia dikata mencuri. 
37. Pulangkan kembali barangan yang dipinjam secepat mungkin seperti yang dijanjikan, supaya senang untuk meminjam pada masa hadapan.

Huraian Falsafah Bab 4 (Perkara 1-20)

Bab 4: Bersifat Amanah

1. Sewaktu berbual, penting bagi kita bercakap dengan ikhlas tanpa mengguna sebarang perkataan yang kurang sopan dan berunsur penipuan. 
2. Adalah lebih baik kita kurang bercakap daripada bercakap berlebih-lebihan. 
3. Apabila bercakap sesuatu cakaplah dengan benar, jangan ditokok tambah yang tiada. 
4. Perkataan-perkataan kiasan yang kurang sopan dan juga kelakuan yang tidak baik semestinya diketepikan dan tidak patut digunakan langsung. 
5. Perkara yang kita tidak nampak dengan mata kita sendiri janganlah kita sewenang-wenangnya memberitahu kepada orang lain. 
6. Perkara yang kita tidak tahu-menahu atau pun tidak pasti janganlah kita sampaikan kepada orang lain. 
7. Janganlah bersetuju apabila diarah membuat sesuatu yang kurang baik atau pun tidak betul. Ingatlah apa jua cara yang dibuat pasti disalahkan. 
8. Apabila berkata tentang sesuatu, janganlah bertutur terlalu cepat atau mengulum kata tetapi berkatalah dengan terang dan terus ke sasarannya supaya mudah difahami. 
9. Sesetengah orang suka bercakap tentang kebaikan orang lain dan ada juga yang sebaliknya. 
10. Jangan suka mengambil tahu tentang perkara yang tidak bersangkutan. 
11. Ikutilah tabiat orang yang selalu membuat kebajikan. Walaupun kita masih jauh ketinggalan kalau tekun mencuba, kita akan sampai ke tahap itu juga. 
12. Ambil iktibar daripada kesalahan orang lain, sekiranya kita telah membuat kesalahan yang sama, insaflah. Jika tidak, berhati-hatilah supaya kita tidak sama terjerumus. 
13. Sekiranya keperibadian, tingkah laku, budi pekerti, kepintaran dan kecekapan kita tidak sebaik orang lain atau belum sampai ke tahap yang baik bertekunlah untuk mencapainya. 
14. Sekiranya pakaian, makanan dan minuman kita tidak sebaik orang lain, janganlah berasa malu atau segan. 
15. Sekiranya teguran dibenci dan kepujian dihargai, kawan yang jujur akan menjauh dan kawan yang jahat akan mendekati. 
16. Sekiranya teguran dihargai dan kepujian tidak disenangi, kawan yang betul-betul jujur dan ikhlas akan mendampingi kita. 
17. Kesilapan yang dibuat dengan tidak sengaja dianggap sebagai satu kesalahan. 
18. Kesalahan yang sengaja dibuat adalah satu kelakuan yang buruk. 
19. Jikalau kesalahan dibetulkan dan tidak diulangi, ini adalah satu kebaikan. 
20. Jikalau kesalahan itu cuba dilindungi atau disembunyikan, ini adalah satu perkara yang tidak dapat dimaafkan.

Huraian Falsafah Bab 5 (Perkara 1- 30)

Bab 5: Sayang Dan Mesra Semasa Manusia Dengan Saksama

1. Semua manusia mesti disayangi sama rata. 
2. Kita tinggal di dunia ini di bawah lindungan langit yang biru bersama. 
3. Seseorang yang mempunyai akhlak yang tinggi dan mempunyai tatasusila yang baik akan dihormati dan disanjung tinggi. 
4. Orang yang disegani ialah orang yang berkebolehan, bukanlah kerana paras rupanya. 
5. Pencapaian tinggi seseorang pasti akan dikagumi dan dihormati ramai. 6. Seseorang yang suka bercakap besar dan takbur tidak akan dihormati. 
7. Sekiranya kita seorang yang bijak dan pandai, gunakanlah kebolehan itu untuk memberi manfaat kepada orang ramai. 
8. Kebijaksanaan orang lain tidak seharusnya dipertikaikan. 
9. Jangan sekali-kali kita menyanjungi orang yang kaya dan menghina orang yang miskin. 
10. Jangan kita mengenepikan kawan lama dan berdamping dengan kawan baru. 
11. Apabila seseorang itu kesibukan, janganlah kita mengganggunya dengan perkara yang remeh. 
12. Apabila pemikiran seseorang itu kusut, janganlah ditambah kekusutannya dengan perbualan atau kemusykilan. 
13. Kelemahan seseorang janganlah kita hebohkan. 
14. Rahsia seseorang tidak harus diberitahu kepada orang lain. 
15. Menghargai kebaikan seseorang adalah suatu kebaktian. 16. Apabila disanjung dan dipuji, seharusnya ini menjadi satu dorongan untuk kita lebih tekun lagi. 17. Menyebarkan keburukan orang lain adalah satu kesalahan. 
18. Apabila keganasan sudah sampai ke tahap keterlaluan, bencana akan menyusul. 
19. Apabila kita saling menggalakkan membuat kebajikan antara satu dengan yang lain, kebaikan kedua-duanya akan meningkat. 
20. Sekiranya kita tidak menegur kesalahan seseorang, kita dianggap sama bersalah. 
21. Sama ada kita menerima atau memberi, kita seharusnya memahami kedudukan sebenar penerimaan dan pemberian itu. 
22. Adalah lebih baik kita banyak memberi dari menerima. 
23. Bertanyalah kesanggupan diri sendiri sebelum menyuruh orang lain membuat sesuatu. 
24. Sekiranya kita tidak sanggup membuatnya janganlah mengarah orang lain berbuat sedemikian. 
25. Kita sewajarnya mencuba untuk membalas segala budi dan memaafkan persengketaan yang ada. 
26. Kurangkan masa membenci dan luangkan masa untuk berbudi. 
27. Sesungguhnya memberi arahan kepada pembantu atau pekerja itu harus diberikan dengan baik dan beradab. 
28. Walaupun kita berkelulusan tinggi, pembantu atau pekerja kita itu harus dilayan dengan baik. 
29. Sekiranya kita mempengaruhi mereka dengan cara yang khianat, keikhlasan mereka akan terjejas. 
30. Jikalau kita tulus menghargai mereka, kemesraan akan terjalin.

Huraian Falsafah Bab 6 (Perkara 1- 5)

Bab 6: Belajarlah Daripada Orang Yang Berwibawa Dan Berakhlak Mulia

1. Walaupun kita semua sesama manusia tetapi tidak sama di antara kita.
2. Kebanyakan kita ialah manusia biasa, hanya segelintir di antara kita yang mempunyai kewibawaan dan berakhlak tinggi.
3. Seseorang yang berwibawa amatlah disegani, ia tidak takut untuk berkata benar dan ia tidak akan memperkecilkan orang lain.
4. Sekiranya kita mendampingi dan mempelajari daripada orang yang sebegini, kita akan mendapat banyak manfaatnya. Kebijaksanaan kita akan berkembang setiap hari dan keburukan kita akan beransur hilang.
5. Sekiranya kita menjauhi diri daripada mereka kita akan kerugian, orang yang buruk kelakuan akan mendampingi kita dan tidaklah kita dapat mencapai keuntungan dalam apa-apa bidang sekali pun.

Huraian Falsafah Bab 7 (Perkara 1- 22)

Bab 7: Lanjutkan Pelajaran Dalam Bidang Sastera Dan Agama Untuk Mempertingkatkan Kebudayaan Dan Semangat Kehidupan.

1. Sekiranya kita menganggap pelajaran itu sebagai satu pengisian masa dan tidak untuk menggunakan faedahnya kita kerugian dan tidak dapat faedah daripadanya.
2. Jikalau kita tidak meneruskan pelajaran, walaupun pengetahuan yang sedia ada itu digunapakai, tahap pencapaian kita tidaklah begitu tinggi kerana ini adalah pengetahuan individu, bukan digabung dengan pengetahuan cerdik pandai.
3. Pengetahuan dan kefahaman sendiri mungkin tidak begitu tepat sasarannya.
4. Untuk mencapai tahap pembelajaran yang berkesan, kita seharusnya memberi tumpuan kepada tiga bahagian iaitu pemikiran, tumpuan kepada bacaan dan memahami pelajaran tersebut.
5. Memahami dan mendalami pembacaan adalah penting untuk pengetahuan.
6. Apabila kita membaca sesuatu tajuk jangan pula kita memikir tentang tajuk yang lain.
7. Habiskan membaca sesuatu buku sebelum bermula dengan buku yang lain.
8. Luangkan masa yang cukup dan kita harus tekun apabila belajar.
9. Untuk memahami pelajaran dengan baik, beri tumpuan dan masa.
10. Catatkan perkara yang memerlukan keterangan dan rujuklah kepada orang yang berpengetahuan atau bijak pandai.
11. Keadaan persekitaran pembacaan mestilah sentiasa bersih, kemas dan teratur.
12. Meja untuk bekerja seharusnya tersusun dan kemas.
13. Sekiranya keadaan tempat kerja itu semak, ini bermakna keadaan pemikiran kita pun sedemikian rupa.
14. Tulisan cakar ayam menandakan pemikiran yang cetek dan kusut.
15. Buku-buku harus disusun dengan baik di atas rak mengikut perkara dan turutan.
16. Selepas membaca buku pastikan diletak kembali di tempat yang sama.
17. Walau dalam kesuntukan masa sekali pun, buku yang dibaca mestilah dikemas dengan baik.
18. Sekiranya ada kerosakan ataupun kehilangan muka surat seharusnya dibetulkan dengan segera.
19. Jikalau terdapat buku-buku yang berunsur tidak sihat, ia harus diketepikan dan dibuang.
20. Buku-buku yang sedemikian sesungguhnya akan merosakkan akhlak, cara pemikiran dan arah tujuan.
21. Dalam masa pembelajaran, janganlah keterlaluan dengan diri kita atau mudah berputus asa.
22. Untuk menjadi seorang yang arif dan berakhlak tinggi, ianya memerlukan masa dan lambat laun akan berjaya juga.

Huraian Falsafah Pengakhiran

Falsafah ini mudah difahami biarpun oleh kanak-kanak yang berumur tiga tahun. Sungguhpun demikian, ia tidak berjaya dilaksanakan sebaik-baiknya walaupun oleh orang yang berumur lapan puluh tahun jika tidak dihayati dan diamalkan. Oleh yang demikian ibu bapa haruslah memainkan peranan untuk melaksanakan falsafah ini dan menjadikannya sebagai amalan hidup. Pembudayaan ini penting kerana perilaku ibu bapa akan menjadi contoh kepada anak-anak.
Sebenarnya apa yang telah kita pelajari tadi semuanya tercanai dalam Prinsip-prinsip Rukun Negara kerana kelangsungan Malaysia yang kita cintai berteraskan kepada prinsip-prinsip Rukun Negara itu.

Rukun Negara
Kepercayaan Kepada Tuhan
Kesetiaan Kepada Raja Dan Negara
Keluhuran Perlembagaan
Kedaulatan Undang-Undang
Kesopanan Dan Kesusilaan

 A harmonious world begins in the mind

educare website is a gateway to your right education choice for success. I’m sorry, Please forgive me, Thank you, I love you.